Tuesday, April 12, 2016

BENGKEL PENINGKATAN KEMAHIRAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TASAWWUR ISLAM DAERAH BATU PAHAT

Borang Maklum Balas Bengkel Peningkatan Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran Tasawwur Islam

Peserta-peserta bengkel di minta mengisi borang maklum balas ini untuk membantu pihak JKD Tasawwur Islam Batu Pahat meningkatkan lagi keberkesanan dalam membantu Guru-guru Mata Pelajaran Tasawwur Islam
Borang tersebut boleh diisi dengan klik pautan di bawah:


Borang Maklum Balas Bengkel Peningkatan PdP Tasawwur Islam

Monday, March 14, 2016

Nota Peta Minda Tajuk Konsep Ketuhanan

Konsep Ketuhanan

Contoh Nota Peta Minda Konsep Ketuhanan


Sedikit saya kongsikan nota peta minda yang ada pada saya. Saya akan update koleksi peta minda yang saya ada untuk kegunaan anda semua.


Dapatkan Nota Konsep Ketuhanan Di Sini



Tasawwur Islam Anda Ialah A+

Sedikit Coretan Pengalaman Mengajar Tasawwur Islam Selama 14 Tahun

Semua pelajar mengharapkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Betul kan? Siapa yang boleh menafikan situasi ini.

Cuma saya ingin berkongsi beberapa situasi dengan anda semua. Ia adalah sebagai satu panduan untuk kita lebih mengenali korelasi antara kemahuan kita dengan kemampuan kita.

Buku Teks Tasawwur Islam Tingkatan 5

Situasi 1:

Seorang pelajar asalnya mengambil aluran sains tulen. Jadi dia mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Kemudian menghubungi saya melalui telefon untuk mendaftar mata pelajaran Tasawwur Islam.

Pelajar ini sebenarnya tingkatan 5. Menjadi masalah ialah dia tidak pernah belajar Tasawwur Islam ketika di tingkatan 4.

Saranan saya. Jika dia mampu membeli sebuah buku rujukan kemudian cuba kuasai tajuk tingkatan 4 dahulu dalam masa 3 bulan. In sha Allah dia boleh score.
Alhamdulillah atas usaha dirinya dia mendapat A dalam Tasawwur Islam.

Situasi 2:

Seorang pelajar yang mengambil 6 mata pelajaran teras kemudian dia ada mengambil matematik tambahan, prinsip perakaunan dan perdagangan. Dia merupakan pelajar yang sedikit bermasalah kerana ketika dia di tingkatan 4 dia tidak hadir ke sekolah hampir setahun.

Ketika itu dia tidak buat apa-apa kerja kursus untuk subjek Prinsip Perakaunan. Lalu pelajar ini dicadangkan untuk drop subjek MT dan PA dan daftar untuk subjek Tasawwur Islam.

Saya berpesan kepadanya, jika dia rajin lebih dia akan lulus dalam peperiksaan SPM. Dan atas kelemahan saya, dia gagal dalam Tasawwur Islam.

Situasi 3:

Seorang pelajar berjumpa saya. Tujuannya dia nak daftar subjek Tasawwur Islam. Dia sudah mengambil 6 mata pelajaran teras iaitu BM BI Math Sn Sej PI dan 2 elektif iaitu Perdagangan dan PSV.

Pelajar ini daripada kategori pelajar lemah. Dia juga tak pernah belajar Tasawwur Islam ketika di tingkatan 4. Saya bertanya juga kenapa dia berhasrat mendaftar Tasawwur Islam?

Jawapannya ialah. Dua orang kakaknya telah ambil subjek ni. Dan lulus. Dan kakaknya memaklumkan kepadanya bahawa subjek ini senang. Wow!

Jawapan saya pula ialah ia bukan semudah yang di sangka. Jika dia nak dia perlu berusaha lebih. Yang membimbangkan ialah BM dia juga sukar untuk berada dalam kelompok lulus. Jadi atas sebab itu saya tidak cadangkan dia ambil risiko atas subjek yang belum belajar lagi.

Panduan Guru. Perlu ada untuk memudahkan proses PdP

Apa Yang Boleh Kita Simpulkan?

Situasi ini menggambarkan bahawa Tasawwur Islam ini bukan satu subjek yang boleh dianggap remeh. Mudah di "tackle". Ia juga subjek yang memerlukan usaha dan kemahiran mengenal pasti kehendak soalan (stem) bagi merungkaikan jawapannya.

Kemahiran ini perlu di bina kerana ia dapat membantu pelajar memberi jawapan yang tepat.

Apatah lagi saya juga boleh berkongsi mengenai pendekatan "Jawapan Bocor" kepada pelajar. Oppsss... ingat ya. Saya tak bagi soalan bocor atau soalan yang macam nak keluar. Sebab peraturan pemarkahan atau peraturan penskoran akan berubah mengikut penggubal item tersebut.

Jadi saya mengambil inisiatif untuk mendedahkan bagaimana satu jawapan boleh digunakan untuk beberapa soalan yang berlainan. Tapi ia perlukan kemahiran untuk digunakan.

Percayalah. Setiap usaha anda yang berganda pasti Allah SWT balas dengan kejayaan yang setara. Usaha kemudian buat latihan kemudian bertanya guru kemudian berdoa kemudian tawakkal kepada Allah SWT merupakan cara terbaik untuk mendapatkan kecemerlangan.


Doa kejayaan A+ daripada saya untuk anda semua.

"Mohd Zazali bin Mohamad Zin"
- Guru Cemerlang Tasawwur Islam -

Mari Kita Kenal Tasawwur Islam

Apa Kod Tasawwur Islam?

Pembahagian Kertas Tasawwur Islam. 


Tasawwur dua kertas iaitu;

5226/1 - Kertas 1
5226/2 - Kertas 2

Setiap calon perlu mengambil dua-dua kertas ini untuk melengkapkan peperiksaan SPM.

Bagaimana Markah Ditentukan?

Setiap kertas mewakili markah tertentu. Berikut merupakan markah yang diperuntukkan.
5226/1 - 40 markah
5226/2 - 100 markah.

Jadi jumlah markah bagi kedua-dua kertas ini ialah 140 markah. Cara pengiraan peratus pula ialah begini. 

(Kertas 1+Kertas 2) ÷ 140 × 100

* Pastikan anda membuat operasi tambah dahulu. Kalau guna kalkulator saintifik pastikan buat kurungan tu ya*

Sebab dulu ada pelajar komplen saya sebab markah yang saya serahkan tak sama dengan markah dia kira. Ramai pulak tu. Bila ditanya kenapa?
Jawapan saya senang je... Kurungan tu buat ke tak?
Dan krik krik krik.... Mereka lupa buat kurungan. Hehehe

Apa Bentuk Soalan?

Pembahagian Bagi Kertas 1 Tasawwur Islam


1.0 Bagi kod 5226/1:

Soalan semua berbentuk item objektif. Maksudnya item ini hanya memerlukan satu jawapan sahaja.
Mengandungi dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B


1.1 Bahagian A:

Ia mengandungi 20 soalan aneka pilihan jawapan. Pelajar perlu menjawab semua soalan. Dan pilihan jawapan perlu ditanda pada helaian yang disediakan. Pastikan hanya ada satu jawapan sahaja.

1.2 Bahagian B:

Ia mengandungi 20 soalan respons terhad. Anda perlu menulis satu jawapan sahaja dalam setiap ruangan jawapan yang disediakan.

Apabila dicampur keduanya ia menjadi 40 markah. Pada hemat saya dan pengalaman saya kertas 5226/1 ini boleh membantu pelajar mendapat markah 15/40 dengan syarat anda baca soalan dengan teliti dan fahami kemudian barulah buat keputusan jawapan anda.

2.0 Bagi Kod 5226/2:

Ia mengandungi 7 soalan. Pelajar hanya perlu menjawab 5 soakan sahaja. Setiap soalan diperuntukkan 20 markah. Jadi sekiranya calon menjawab 5 soalan maka markah yang diperuntukkan ialah 100 markah.

Bagaimana pula kalau ada pelajar yang buat 7 soalan?
Markah anda tetap 100 sebab kami akan hanya mengambil 5 soalan yang memiliki markah tertinggi sahaja. Sebagai contoh:

Soalan 1: 5/20 (soalan ni wajib jawab)
Soalan 2 : 8/20
Soalan 3: 7/20
Soalan 4: 9/20
Soalan 5: 12/20
Soalan 6: 11/20
Soalan 7: 13/20.


Jadi markah hanya akan diambil bagi soalan 1, 4, 5, 6 & 7. Kenapa soalan 1 tetap kena ambil walaupun markahnya lebih rendah? Kerana ia merupakan soalan wajib yang perlu dijawab okeh pelajar. Maksudnya berapa markah oun yang anda dapat dalam soalan 1, itulah markah yang akan diambil. Kalau tak buat langsung?

Best soalan tu. Maksudnya anda hilang 20 markah. Baru 20 kan? Tapi ia kerugian yang nyata.
Jadi kesemua markah ini akan dijumlahkan. Selepas itu markah bagi kertas 5226/1 akan dijumlahkan dengan 5226/2. Kemudian markah anda ini akan dijadikan peratus (%)


Tip Tambahan

Pembahagian Soalan Mengikut Bab bagi Soalan Kertas 2


Bagi Kertas 5226/2.
Soalan kebiasaannya mengikut bab yang dipelajari.
Soalan 1: Bab 1- Asas Pemikiran Islam
Soalan 2: Bab 2- Pandangan Hidup Islam. Kadang-kadang ia digabungkan dengan Bab 1.
Soalan 3: Bab 3 - Institusi Islam
Soalan 4: Bab 4 - Harta Menurut Islam
Soalan 5: Bab 5 - Perundangan Islam
Soalan 6: Bab 6 - Penyelesaian Masalah Menurut Islam
Soalan 7: Gabung Bab 4,5,6

Soalan 1-3
Ni semua tajuk daripada tingkatan 4.
Soalan 4-7
Ni semua soalan daripada tingkatan 5.

Nah. Konsep awal Cara Menjawab Soalan Tasawwur Islam sudah saya kongsikan. Harapan saya anda cuba hadam benda ini supaya ia lebih memudahkan mengenal pasti kehendak soalan.

Doa A+ Tasawwur Islam daripada saya.
"Mohd Zazali bin Mohamad Zin"
- Guru Cemerlang Tasawwur Islam -

Mesyuarat JKD Tasawwur Islam Batu Pahat Kali Pertama

Mesyuarat Kali Pertama Berjaya Dilaksanakan

Alhamdulillah. Setiap perancangan yang kita rangka perlu keizinan Allah SWT untuk direalisasikan. Begitu juga dengan mesyuarat kali pertama ini, dirancangkan untuk dilaksanakan sebelum cuti pertengahan penggal pertama persekolahan sesi 2016. Dan ia berjaya dilakukan. Terima kasih Allah.

Di Mana Mesyuarat JKD Kali Pertama Ini?

Ia disempurnakan di Bilik Mesyuarat SMK Suria Perdana, Batu Pahat Johor. Kali pertama SMK Suria Perdana diamanahkan sebagai JKD Tasawwur Islam apatah lagi ini baru tahun pertama mata pelajaran ini ditawarkan kepada pelajar Tingkatan 4 di sekolah ini.

Cabaran baru kepada Puan Noriha binti Hj Ahem selaku Pengetua SMK Suria Perdana merangkap Pengerusi JKD Tasawwur Islam bau Pahat dan saya juga selaku Setiausaha JKD Tasawwur Islam.

Siapa Yang Hadir?


Mesyuarat dipengerusikan oleh Pn Hjh Noriha binti Ahem
Turut hadir, Ustaz Mohd Farid Hilmi, Penolong PPD UPI Batu Pahat

Mesyuarat ini dihadiri oleh Ketua Panitia Tasawwur Islam atau wakilnya daripada semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran ini di sekolah mereka. Kehadiran memberangsangkan dan kerjasama daripada semua ahli mesyuarat memang terbaik.

Apa Tugas Saya?

Sebagai pemegang amanah Guru Cemerlang Tasawwur Islam, saya perlu banyak memberikan sumbangan kepada mana-mana sekolah yang ingin dibantu. Sebagai pengalaman apabila saya mengajar di sekolah lama dahulu, kebanyakan pelajar saya merupakan bukan pelajar yang tergolong cemerlang. 

Situasi ini membantu saya dalam mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh pelajar dan juga guru yang mengajar. Menganalisis punca merupakan skop fokus saya kerana dalam Tasawwur Islam juga menekankan kita mengenal pasti punca masalah dalam menyelesaikan masalah. Itulah yang saya terapkan.

Wajah-Wajah Guru Tasawwur Islam

Wajah-wajah daripada kalangan Guru Lelaki
Barisan Ustazah yang mendidik

Sedang memikirkan cara terbaik untuk membantu pelajar


Perbincangan semakin rancak dalam mengenal pasti cara terbaik mendidik

Tasawwur Islam di Batu Pahat Terus Cemerlang

In Sha Allah, apabila semua bergabung tenaga dalam mencurahkan idea dan tenaga, maka ia akan lebih memudahkan untuk mengenal pasti cara terbaik membantu pelajar-pelajar. Kami impikan dan realisasikan kepada semua pelajar untuk lebih seronok mempelajari Tasawwur Islam kerana keseronokan akan mendorong kejayaan.


Sunday, March 13, 2016

Salam Perkenalan Daripada Saya

Marilah bersama-sama kita menjana kecemerlangan Tasawwur Islam.


Saya lebih gembira apabila memperoleh A+ dalam Tasawwur Islam

Mengapa Pilih Tasawwur Islam?

Ramai yang mengatakan subjek ini subjek yang mudah. Sebab ramai dalam kalangan pendidik yang berbondong-bondong menawarkan subjek ini kepada calon-calon tertentu dengan niat untuk membantu mereka.

Buanglah stigma bahawa Tasawwur Islam ini satu perkara yang mudah. Setiap mata pelajaran yang perlu pelajar ambil memiliki aspek yang mudah dan susah. Jikalau dilihat kepada Huraian Sukatan Pelajaran masing-masing, setiap tajuk pembelajaran mengandungi tiga kategori aras penguasaan iaitu Aras Rendah, Aras Sederhana dan Aras Tinggi. Begitu juga Tasawwur Islam. Ia memiliki elemen ini.

Tasawwur Islam memang boleh membantu pelajar. Cuma jika pelajar itu yakin bahawa mereka boleh berusaha lebih sedikit, in sha Allah A sentiasa tergedik-gedik datang kepada mereka. Tasawwur Islam tidak sama dengan Pendidikan Islam. Jikalau dilihat, subjek ini diperkenalkan oleh Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Mahathir Mohamad.

Mengapa ia diperkenalkan? Kerana ingin memperkenalkan konsep keindahan Islam kepada semua bangsa dan agama yang ada di Malaysia. Maksudnya, apakah pelajar bukan beragama Islam boleh memilih subjek ini? Jawapannya YA!

Tasawwur Islam dapat meningkatkan Gred Purata kecemerlangan pelajar. Percaya atau tidak, ia sememangnya telah banyak membantu pelajar-pelajar aliran Sains mahupun alirna yang lain dalam memantapkan kualiti keputusan peperiksaan mereka. Cuma diingatkan di sini bahawa, setiap subjek ada caranya tersendiri untuk menjawab soalan peperiksaan.

Betul Ke Tasawwur Islam Sebenarnya Senang?

Ya. Senang bagi mereka yang memang yakin untuk mengubah keputusan yang mereka peroleh dalam SPM atau mana-mana peperiksaan.

Pengalaman saya sebagai Guru Mata Pelajaran Tasawwur Islam lebih daripada 12 tahun, menunjukkan bahawa potensi pelajar boleh diletupkan jika kita tahu caranya. Tasawwur Islam merupakan mata pelajaran yang banyak kepada istilah-istilah. Lebih daripada 100 istilah perlu dikuasai oleh pelajar. 

Ia juga menekankan kepada konsep pelajar perlu berfikir dengan lebih kritis dan kreatif. Apatah lagi apabila Pengajaran dan Pembelajaran abad 21 diperkenalkan, pelajar perlu lebih menekankan kepada aspek K-BAT (kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang mana ia menuntut pelajar perlu berfikir dengan lebih baik dalam menyelesaikan masalah-masalah rutin dalam kehidupan.

Pendekatan terkini perlu didedahkan kepada pelajar, Inilah cabarannya. Setiap mata pelajaran mengandungi konsep yang sama tetapi pendekatan yang berbeza dalam mengimplimentasikan K-BAT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Ia akan menjadi mudah bila kita tahu caranya

Bagaimana Saya Boleh Membantu?

Dalam laman blog ini, saya akan cuba membantu pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini dengan memperkenalkan cara mudah untuk menguasai setiap tajuk dalam Tasawwur Islam. Saya merupakan Guru Cemerlang Tasawwur Islam sejak tahun 2010 dan pengalaman saya mendidik anak-anak murid saya akan saya gunakan bagi membantu anda semua.

In Sha Allah dalam laman blog ini, kita akan cuba memudahkan lagi bagaimana untuk "menjatuhkan" ketinggian soalan KBAT dalam SPM kelak. Bagaimana? Pasti saya ada caranya. In Sha Allah akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Saya doakan agar kita akan mengecapi kejayaan cemerlang dalam SPM kelak. In Sha Allah A+
Salam perkenalan daripada saya.

Mohd Zazali bin Mohamad Zin
Guru Cemerlang Tasawwur Islam